019 3038606
admin@harum.org.my

Blog

2019 FASA BARU UNTUK HARUM

Salam Kedamaian,

2018 bakal melabuhkan tirai sehari lagi. Masa begitu pantas dan cepat tanpa disedari. Dari mula HaRUM ditubuhkan pelbagai cabaran dan halangan telah ditempuhi dalam misi harum membawa dan menyebarkan mesej Kedamaian dan Kasih Sayang melalui misi kemanusian. Genap tahun ini, 8 tahun HaRUM telah beroperasi sebagai salah sebuah NGO yang berdaftar di Malaysia.

Pada asalnya Idea penubuhan HaRUM (Ikatan Kekeluargaan Rumpun Nusantara) pertama kali telah diilhamkan bersama beberapa NGO atas faktor keprihatinan masa depan dan cabaran masyarakat Islam di Malaysia khususnya di Asia Tenggara amnya yang masih di dalam serba kekurangan seperti program-program bantuan kemanusiaan dan kebajikan, pendidikan dan keilmuan, pengkajian pensejarahan dan tamadun bangsa, pembangunan sosio–ekonomi dan pengupayaan masyarakat Islam melalui kemahiran dan pembangunan jati diri dan yang cabaran yang paling tinggi adalah untuk mengukuhkan persaudaraan dan mengeratkan ikatan kekeluargaan silaturrahim masyarakat Islam.

Pada April 2012 tercetusnya satu Program Mega sulung dari HaRUM yang menghimpunkan masyarakat daripada seluruh Asia Tenggara dalam Program Himpunan Kekeluargaan Rumpun Nusantara yang bertema “DISINI BERMULANYA CINTA” di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

Semenjak dari program itu, HaRUM sentiasa bergerak aktif untuk menyumbang tenaga dan kepakaran dikalangan ahlinya untuk terlibat secara serius dalam semua usaha dalam memacu transformasi dengan meneladani sejarah dan kebijaksanaan para tokoh ilmuan (ulama’) dan pemerintah yang telah membangunkan masyarakat di Nusantara sebagai satu rumpun. Semua ini tidak boleh dilaksanakan tanpa kerjasama dan dedikasi dan keikhlasan ahli yang telah menyumbang tenaga.

Bermula dari program kemasyarakatan sehingga lah pembabitan HaRUM dalam misi-misi kemanusian di dalam Negara dan Luar Negara. Antara misi-misi kemanusian yang dijalankan HaRUM adalah bantuan bencana banjir, dapur ramadhan, bantuan mangsa pelarian Rohingya, Projek Qurban Nusantara, Waqaf Perigi dan banyak lagi.Pembabitan HaRUM dalam misi kemanusian tidak terhenti pada tahap menjalankan misi kemanusian sahaja, ia bermula apabila HaRUM mula mengorak langkah dalam Misi Kemanusian di Sulu, Selatan Filipina. Pada asalnya hanya memberi bantuan kemanusian pada masyarakat Muslim disana, sehinggalah terpanggil menjadi satu badan yang membantu Selatan Filipina ke Medan Antarabangsa dalam mencapai kebebasan dan kedamaian.

Julung kali nya, pada tahun 2014 dengan kerjasama TV Al-Hijrah telah ke Holo,Selatan Filipina bagi mendokumentari kan sebuah dokumentari bertajuk: Islam Di sulu. Tujuan dokumentari ini adalah untuk membuka mata dunia tentang masyarakat Islam di Sulu yang selalu dipandang serong atas kejadian militan dan penculikan di Selatan Filipina dan tidak selalu mendapat perhatian dunia atas kesulitan dan kesusahan masyarakat islam disini. Sejujurnya selepas beberapa kali melakukan misi Kemanusian di Selatan Filipina, kami melihat masyarakat disini inginkan kehidupan yang baik damai, rata-rata masyarakat disini beragama Islam. Apa yang kita lihat di paparan media selama dengan kes-kes penculikan dan pemberontakan militan itu lebih kepada propaganda untuk memburukkan nama masyarakat Islam disitu, masyarakat di Sulu hidup dalam kedaifan dan kesusahan serba kekurangan, mereka dinafikan hak-hak mereka, kekurangan bantuan dalam pendidikan menyebabkan mereka agak kebelakang dari sektor pendidikan, manakala dari sektor ekonomi pula, tidak ramai yang mempunyai kerja yang tetap dek kerana ketidak stabilan keadaan sekitar. Masyarakat Islam disana tidak ganas seperti dimomokkan. mereka ingin keamanan. jangankan segelintir mereka yang ganas, kita menghukum mereka ganas.

Sungguh mereka pernah mencatat sejarah sebagai Sebuah Empayar Islam yang hebat di abad 14 -15 di bawah Pemerintahan Sultan-Sultan berdaulat. Bumi yang terdapat ahlul bait Baginda S.A.W dari leluhur Syarif -syarif pendakwah Islam. Jangan diabaikan, Sultan Sulu pertama adalah Sayyid Abu Bakar atau Bergelar ia Paduka Seri Sultan Shariful Hashim dari zuriat yang mulia. Maka bermula salasilah al Mustofa saw di bumi ini yang jarang diambil peduli.

Dari sini bermulanya gerak kerja HaRUM dalam membantu masyarakat Islam di Selatan Filipina dengan membawa isu ini kebadan Dunia, dengan kerjasama dengan NGO Minsupala Realm Incoporation, HaRUM telah membawa isu di Sulu di UNPO, satu badan NGO Dunia yang memperjuangkan hak-hak minoriti-minoriti yang tertindas. UNPO merupakan salah satu platform yang terbaik buat masa kini bagi rakyat Sulu. Alhamdulillah, segala yang telah di bawa ke medan antarabangsa ini diterima baik dan UNPO menyatakan akan membantu dalam sudut perundangan atas kepakaran mereka.

Tidak terhenti disitu, dalam melihat penyatuan umat Islam dan non Muslim di selatan Filipina, HaRUM membina lebih banyak jaringan bersama NGO disana. 2018 merupakan tahun yang banyak kerjasama dibina bersama NGO lain, dan HaRUM ditemukan dengan satu badan kerajaan bagi Muslim Filipina iaitu National Commision on Muslim Filipinos (NCMF).

NCMF merupakan satu suruhanjaya bagi Muslim di Filipina dibawah selian President Filipina sendiri iaitu Rodrigo Duterte, badan ini bertindak sebagai satu unit yang sama seperti yang kita ada di Malaysia, iaitu JAKIM, tetapi atas kerana kekurangan informasi, masih ramai lagi rakyat disana tidak tahu apa fungsi, peranan dan siapa NCMF ini, dengan peluang yang ini, HaRUM akan bekerjasama dengan NCMF dengan lebih lagi bagi memperkenalkan NCMF pada masyarakat Islam di selatan Filipina.

InshaAllah pada 2019, akan lebih banyak program yang dirancang bersama akan dijalankan bersama NCMF dalam membawa masyarakat Islam disana untuk bersama-sama membantu rakyat mereka sendiri. Sejajar dengan visi HaRUM untuk menyatukan seluruh manusia dengan rasa kekeluargaan tidak kira bangsa, agama, bahasa, NCMF merupakan satu jalan  yang sangat baik.

Semua ini tidak akan mungkin terjadi tanpa bantuan dari kalangan ahli yang mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang dan juga bantuan sumbangan dari seluruh rakyat Malaysia khususnya dan negara jiran serantau umumnya yang tidak putus-putus menyokong gerak kerja HaRUM dari mula hingga sekarang bagi menebarkan lagi sayap keamanan sejagat. Moga Allah membalas jasa-jasa semua diatas pengorbanan yang telah diberikan.

Post a comment