019 3038606
admin@harum.org.my

Blog

SEJARAH AWAL KEDATANGAN ISLAM DI SELATAN FILIPINA

 

Filipina adalah merupakan antara gugusan pulau dalam kepulauan Melayu yang mempunyai berbagai sejarah dan keunikan sendiri bahkan berkongsi banyak persamaan dengan masyarakat di malaysia dan indonesia umumnya. Umum mengetahui bahawa masyarakat filipina merupakan sebahagian daripada kelompok darah melayu austronesia dan sudah pastilah ini merupakan antara bukti kita dahulu dalam satu rumpun dan kelompok yang sama di nusantara.

Filipina asalnya adalah sebuah kerajaan islam yang hebat pada zaman dahulu, namun keadaan berubah sekelip mata selepas kedatangan sepanyol ke filipina pada tahun 1565. Mengikut fakta sejarah pemerintahan Islam di Filipina telah berkembang dari Pulau Sulu hingga ke utara pada akhir abad ke15. Pada zaman itu, Manila dipanggil Selurong dan diperintah oleh Raja Sulaiman Mahmud dengan bantuan Raja Matanda.Wilayah Tondo pula diperintah oleh Raja Iskandar. Pada masa yang sama Islam telah berkembang sehingga ke Batangas, Pampanga, Cagayan, Mindoro, Catanduanes, Bonbon, Cebu, Oton dan Laguna.

Mengikut Syed Muhammad Naquib Al-Atas dalam bukunya “Historical Fact And Fiction” dan tarsila * Magindanao, Islam telah sampai ke Filipina seawal abad ke13 apabila pendakwah berbangsa Arab dengan gelaran Tuan Masha’ika menjejakkan kakinya di Pulau Sulu. Pada zaman itu Filipina dikenali sebagai Kepulauan (Arkipelago) Sulu. Pedagang dan pendakwah Arab bergelar Karim Al-Makhdum dari Pasai sampai ke Sulu pada tahun 1360. Beliau diberi gelaran Sharif Awliya. Sharif Awliya kemudian meneruskan perjalanannya ke Magindanao dan menyebar agama Islam disana.

Pada 1390 datang pula Syed Abu Bakar seorang Arab dari Selatan Arab ke Sulu bagi menyambung usaha-usaha Sharif Awliya. Syed Abu Bakar kemudian menaiki tahta sebagai Sultan Sulu pertama dan mengguna gelaran Sharif Hashim. Sharif Awliya adalah pendakwah Islam yang pertama tiba di Magindanao. Pendakwah kedua yang digelar Sharif Maraja pula datang ke Magindanao pada 1380 (setelah Sharif Awliya balik ke Pasai) dan menyambong penyebaran Islam.

Pada 1440 (bukan 1515 seperti yang direkod oleh pengkaji sejarah Cecil Mabul), Sharif Kabungsuan telah sampai ke Magindanao dan memulakan pemerintahan Kesultanan Magindanao. Walaupun tiada dinyata dalam tarsila Magindanao, tetapi mengikut cerita tradisi dan boleh dipercayai, Sharif Kabungsuan mempunyai dua abang bernama Alawi dan Ahmad atau Ahmad dan Muhammad.Diantara kedua abangnya, yang tua sekali adalah pengasas kesultanan Brunei dan abangnya yang kedua pengasas Kesultanan Sulu. Secara umumnya dipercayai bahawa,Sultan-Sultan Sulu, Magindanao dan Brunei adalah adik beradik.

Cetusan Konflik di Selatan Filipina

Selepas Filipina merdeka daripada kuasa Kolonial Amerika,majoriti penduduk Islam telah berpindah ke Magindanao, Zamboanga, Palawan, Sulu,Visayas ,Bisalan danTawi-Tawi. Walaupun telah merdeka nasib penduduk Islam dipinggirkan. Akibat ditindas maka ramai yang menentang kerajaan sehingga mereka dikenali sebagai pejuang kebebasan Moro.

Sebenarnya perkataan Moro adalah nama yang diberi oleh orang Spain kepada penduduk Muslim di Filipina pada tahun 1570. Moro adalah daripada perkataan “Moors”, iaitu orang Islam dari Utara Barat Afrika yang menawan Spain pada 711 Masehi. Masyarakat Eropah umumnya menamakan setiap orang Arab dan Afrika Muslim (yang berkulit hitam) sebagai Moors. Namun pada tahun 1578, kerajaan penjajah Spain telah menamakan hanya orang-orang Muslim di Sulu dan di Mindanao sebagai Moro.

Apabila tercetusnya pembunuhan yang dipanggil Pembunuhan Jabidah ( Jabidah Massacre) pada 1968 oleh Angkatan Tentera Filipina keatas pejuang Moro, seorang penuntut Moro ketika itu, bernama Nur Misuari , telah menubuhkan Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro pada Mac 1969. Pergerakan ini dikenali sebagai MNLF .

Pembunuhan Jabidah atau “Corregidor Massacre” ini menjadi titik tolak bagi Nur Misuari untuk bersatu dengan pejuang-pejuang Moro yang lain menubuh MNLF untuk menentang Kerajaan Filipina.Matlamat perjuangan adalah memohon kebebasan keatas Wilayah Magindanao dengan mengiktirafnya sebagai entiti Autonomi Muslim Mindanao.

Beberapa perjanjian damai telah ditandatangani antara pihak Kerajaan Republik Filipina (GRP) dengan MNLF. Perjanjian Damai telah melangkau lima era pimpinan Presiden dan yang keenam dan terkini adalah dibawah pimpinan Presiden Benigno Aquino III. Sepanjang tempoh pimpinan lima Presiden, berlaku beberapa pertempuran diantara pihak Kerajaan Filipina dengan MNLF dan dianggarkan seramai 120,000 nyawa rakyat (samada pejuang Moro; penduduk Islam; tentera kerajaan; mahu pun rakyat bukan Islam) telah terbunuh.

Rangka kerja Perjanjian Damai kali ini adalah kearah membentuk satu entiti Autonomi “Bangsamoro” seperti yang dipersetujui oleh Presiden Aquino III dan bukan lagi Wilayah Autonomi Muslim Mindanao. Jangkamasa untuk mencapai pembentukan ini adalah sehingga 2016.Dimana selepas itu pejuang-pejuang Moro harus meletakkan senjata mereka dan kembali kepada masyarakat Bangsamoro dan lalui hidup seperti rakyat biasa.Seterusnya wilayah-wilayah yang bersetuju untuk dimasukkan dibawah Autonomi Bangsamoro telah dikenalpasti.

Keperluan Penyatuan Ummat Islam di Selatan Filipina

1) Pusat keamanan serantau

Jika kita begitu sensitif mengambil tahu hal penindasan ummat Islam di Palestin, Syria, Yaman dan negara-negara berkonflik kita sewajibnya berasa tersentuh dengan penindasan yang berlaku pada muslim di Selatan Filipina. Tuduhan penglibatan dalam keganasan satu perkara yang perlu ditimbal semula atas dasar agama dan kemanusiaan.

Pergolakan yang berlaku pada rakyat di Selatan Filipina satu mainan politik yang menampakkan mereka tidak perlu dipedulikan terutama pada negara terhampir iaitu rakyat Malaysia. Namun bila kita menjengah sendiri di ceruk bandar dan kampung mereka kita tahu rakyat ini majoritinya beragama Islam hidup dalam kesempitan serta tidak diberikan hak keperluan asas sebagai manusia dalam menjalani kehidupan atas kegiatan rasuah yang berlaku di peringkat dalaman. Selain itu, momokan keganasan yang berlaku kepada bangsa mereka menyebabkan kurangnya pendakwah-pendakwah yang datang memberitahu kebenaran hidup beragama maka mereka meneruskan amalan agama Islam mengikut apa yang ditinggal oleh nenek moyang mereka.

Inilah tanggungjawab kita,  jika para ugamawan menyedari bagaimana terhimpit kehidupan muslim di Mindanao dan Selatan Filipina terhadap keperluan ilmu agama kerana mereka iti saudara seislam yang memiliki jati diri yang kuat tetapi memerlukan para ahli agama membantu lantaran kesempitan sumber ilmu dan kesusahan kehidupan yang menghimpit.

Para NGO sepatutnya lebih mengutamakan rakyat Muslim Selatan Filipina yang memerlukan bantuan asas kehidupan seperti air bersih, pendidikan, makanan asas dan peluang pekerjaan kerana jika kita meringankan kehidupan kemiskinan mereka kita akan mengurangkan kadar berlakunya jenayah dan keganasan.

2) Penyelesaian konflik dalaman

Akibat proses penjajahan yang panjang selama ratusan tahun menyebabkan keadaan muslim Selatan Filipina ditindas dengan banyak keperluan dan hak mereka tidak dipenuhi. Campur tangan pelbagai pihak Ngo dalam membantu menyuluarakan sensitiviti kita dalam membantu saudara  seagama ini dapat menyedarkan pihak kerajaan tentang pentingnya kebebasan Wilayah Filipina agar masyarakat Selatan Filipina mengolah pemerintahan tanah mereka sendiri mengikut struktur pemerintahan beraja dan adat istiadat yang dipelihara zaman berzaman ini dilaksanakan serta konflik dalaman dapat dihapuskan menyebabkan banyak manfaat akan diperoleh oleh kedua-dua pihak bagi menyelesaikan konflik beratus tahun ini.

3) Penyelesaian pati dinegara jiran

Lambakan pendatang tanpa izin dari Selatan Filipina di Sabah adalah satu faktor besar yabg membuktikan kedamaian harus dicapai di Selatan Filipina agar tiada berlaku rakyat di sana datang ke Malaysia. Keadaan himpitan kehidupan yang melanda akan menyebabkan sesiapa pun mencari peluang untuk meneruskan kehidupan. Maka jika keamanan wujud di negara mereka adakah mereka sewenangnya lari ke negara jiran berhadapan dengan pelbagai risiko melainkan merea terpaksa dan perlu menyelamatkan nyawa mereka dan keluarga. Faktor ini harus dipandang berat oleh kerajaan Filipina agar ketegangan yang melibatkan diplomasi dua negara dan negara serantau diselesaikan dengan matang dan tidak merugikan.

4) Masalah lanun

Umum mengetahui, bahawa titik tolak daripada masalah di pergolakan di Selatan Filipina menyebabkan ada pihak yang mengambil kesempatan dengan menjadikan perairan sempadan antara 3 buah negara berdekatan sebagai lubuk kegiatan lanun. Kegiatan tersebut menyebabkan banyak kapal-kapal yang melalui perairan tersebut bimbang dengan keselamatan anak kapal dan barangan dagangan yang dibawa untuk melalui perairan tersebut.

Memang diketahui perairan tersebut dikenali antara perairan yang menghubungkan antara negara negara jiran yang menjalankan kegiatan eksport dan import komuditi sebagai sumber ekonomi, hal ini menggalakkan pertumbuhan lanun-lanun sehingga mengganggu aktiviti ekonomi antara negara. Tambahan pula, kawasan tersebut amat dikenali oleh pelancong luar sebagai ‘world of paradise’ kepada pencinta alam semulajadi dan aktiviti laut dan pulau. Kesan kegiatan lanun tersebut telah menyebabkan aktiviti perlancongan tidak dapat berkembang dengan baik kerana pelancong gusar dengan kes kes penculikan yang berlaku saban tahun.

5) Menyekat aliran ekstrim abu sayyaf, Islamic state, ISIS

Kita mengetahui, ada satu pihak yang suka menggunakan nama Islam atas nama jihad tetapi mereka adalah boneka-boneka yang ingin meruntuhkan nilai suci agama Islam dengan menggembar gemburkan tema keganasan. Kumpulan-kumpulan jadian ini mengambil kesempatan atas konflik di Selatan Filipina bagi memburukkan rakyat Muslim Selatan Filipina yang bukannya pengganas realitinya mereka hidup dalam kemiskinan dan berusaha untuk hidup bersama keluarga mereka. Bantuan dari pelbagai pihak terhenti lantaran persepsi negatif dari kumpulan-kumpulan pengganas ini.

Oleh itu,ummat Islam di Filipina wajib bersatu dan menolak faham-fahaman radikal dan membangunkan negara dengan wajah Islam yang melambangkan kedamaian dan penyatuan atas dasar tauhid dan akhlak Rasulullah saw.

Para ulama’dan muslim di negara-negara sekitar juga perlu memberi galakkan dan membantu perkembangan dakwah yang membawa penyatuan di bumi Filipina agar fitnah dari kumpulan-kumpulan jahat ini dapat dipadamkan.

6) Stateless

Dikawasan laut sekitar perairan Malaysia, Indonesia dan Filipina ada golongan masyarakat yang tidak mempunyai warganegara atau termanya ‘stateless’. Golongan stateless ini dikenali sebagai masyarakat Bajau Palaut yang sehingga ke hari ini mereka tidak mempunyai warganegara kerana negara sekitar tidak mengakui mereka ini adalah sebahagian daripada warga mereka kerana masyarakat ini tidak tinggal di darat, tapi di perahu perahu kecil di perairan pantai atau laut. Apabila ditelusuri sejarah masyarakat ini mereka sebenarnya berasal daripada kepulauan di Selatan Filipina sebahagiannya di Malaysia dan Indonesia amnya.

………………………………………………………………………………………………………………………………………

Konklusinya,pemerhati geopolitik berpendapat jika penumpuan kepada aspek keamanan dan kesejahteraan dalam konteks penyatuan ummat islam di Selatan Filipina mampu menyelesaikan masalah yang berlaku kini yang tiada penyelesaiannya. Sudah pasti Dunia akan bertumpu kepada Selatan Filipina kerana berjaya membawa agenda perubahan kepada keamanan dan kesejahteraan sejagat. Hal ini akan menjadi nilai tambah kepada kepercayaan masyarakat dunia kepada Pemerintah di Selatan Filipina dan kerajaan Filipina amnya akan kematangan dan kebolehan mereka mengubah zon yang dikatakan tidak selamat serta dalam kancah perang  kepada sebuah kawasan yang selamat untuk dikunjungi dan dilawati oleh orang luar.

Antara lain cetusan kepada penyatuan Ummat Islam di Selatan Filipina bukan sahaja menjamin keamanan dan kesejahteraan kepada masyarakat setempat bahkan mampu melonjakkan ekonomi di wilayah tersebut. Wilayah di Mindanau dan Selatan Filipina diketahui antara kawasan yang kurang membangun dibandingkan di kawasan lain di Negara Filipina. Dengan sumber alam yang tidak terhad di wilayah tersebut, mampu menarik pelabur asing dan pelabur tempatan untuk kembali melabur dan membangunkan ekonomi di wilayah tersebut. Hal ini pasti memberi impak positif kepada ekonomi dan sosial masyarakat setempat dan amnya kepada kerajaan Filipina sendiri.

Post a comment