
Iftar Kasih HaRUM Bersama Warga Pusat Jagaan Titian Nur
Alhamdulillah, pada 20 Mac 2025, Team HaRUM berkesempatan berbuka puasa bersama 90 penghuni Pusat Jagaan Titian OKU Nur di Rawang. Pusat ini menempatkan warga emas dan individu kelainan upaya (OKU), yang ada di antaranya telah menetap di sini sejak ia diasaskan oleh Puan Normah Adlan mesra dipanggil “Ibu” bermula tahun 2005.
Kami tiba sekitar jam 5.30 petang dan disambut dengan senyuman mesra. Suasana petang itu dipenuhi dengan perbualan penuh makna, permintaan lagu raya yang menceriakan, dan kisah-kisah yang menyentuh hati. Di sebalik gelak tawa, ada juga yang meluahkan kerinduan terhadap anak-anak dan cucu yang jarang menjenguk.
Sebelum berbuka, kami sempat berselawat dan berdoa bersama, memohon keberkatan buat semua. Hidangan iftar disediakan dengan penuh kasih sayang, dan kami juga menyerahkan sumbangan keperluan asas seperti pampers dewasa, sabun basuh baju, serta barangan makanan sebagai persediaan menyambut Syawal.
Puan Normah berkongsi, βSaya melihat banyak sumbangan diberikan kepada anak yatim, madrasah, dan asnaf, tetapi pusat jagaan orang tua dan OKU sering terpinggir. Itu yang menyedarkan saya betapa perlunya tempat ini.β Kata-kata ini mengingatkan kami betapa pentingnya untuk lebih cakna dan menyantuni mereka yang memerlukan, bukan hanya dalam Ramadan tetapi sepanjang masa.
Mereka tidak meminta banyak hanya kasih sayang dan perhatian. Semoga inisiatif kecil ini membawa kegembiraan buat mereka. Terima kasih kepada semua penyumbang dan para dermawan yang menjayakan majlis ini.
Jom teruskan menyebarkan kasih sayang!
Tonton video Iftar Kasih kami di sini.