Pelancaran Tabung Kasih Afghanistan
Rabu 6 Oktober- Pertubuhan Ikatan Kekeluargaan Rumpun Nusantara (HaRUM) baru-baru ini telah melancarkan satu kempen untuk membantu rakyat Afghanistan yang semakin dihimpit pelbagai krisis terutamanya kekurangan kemampuan membeli barang keperluan asas dan perubatan. Krisis ini timbul apabila tumbangnya kerajaan pemerintah Afghanistan pada bulan Ogos yang lepas apabila pihak Amerika Syarikat memutuskan untuk membawa kembali pasukan ketenteraan yang telah menduduki Afghanistan selama lebih 20 tahun. Lebih memburukkan keadaan, sumber kewangan Afghanistan yang dianggarkan bernilai USD 9 bilion telah disekat oleh Bank Dunia.
Oleh itu, atas dasar dan prinsip kemanusiaan, HaRUM mengambil langkah inisiatif dengan melancarkan kempen Tabung Kasih Afghanistan; Kekeluargaan Afghanistan untuk membantu rakyat di negara yang telah mengalami kirisi pentadbiran lebih dari 4 dekad yang lalu. Kempen bantuan ini amat diperlukan memandangkan keupayaan kewangan yang semakin menguncup dan mereka bakal menghadapi musim sejuk pada bila-bila masa sahaja. Pelbagai bentuk bantuan akan diusahakan seperti makanan asas, ubat-ubatan dan pelbagai lagi.
Sebagai langkah pertama, HaRUM telah mengadakan satu sesi suai kenal bersama Duta Afghanistan, TYT Dr. Moheb Spinghar bertempat di Kedutaan Afghanistan. Pertemuan yang berlangsung selama 30 minit membincangkan mengenai peluang kerjasama yang akan dijalinkan oleh HaRUM bersama beberapa pihak di Afghanistan. Menurut TYT Dr. Moheb, selain barangan makanan dan keperluan perubatan, bantuan yang amat diperlukan buat masa ini ialah kelengkapan menghadapi musim sejuk seperti khemah, selimut dan pakaian tebal. Beliau juga menekankan tentang bantuan dan sokongan untuk membangunkan ekonomi rakyat Afghanistan memandangkan segala sumber kewangan mereka telah disekat dan menyebabkan keadaan ekonomi mereka hampir lumpuh.
HaRUM ingin menyeru dan mengajak seluruh rakyat Malaysia berganding bahu dan menghulurkan bantuan agar misi bantuan kemanusiaan kepada warga Afghanistan ini dapat disempurnakan secepat mungkin. Segala bantuan boleh disalurkan ke akaun Maybank Pertubuhan Ikatan Kekeluargaan Rumpun Nusantara (HaRUM) 5624 7814 6397 atau boleh lawati laman Facebook untuk mengikuti segala maklumat terkini. Moga rakyat Malaysia mendoakan kerjasama ini berjalan lancar dan amat berharap agar menyokong Misi Kemanusiaan ke Afghanistan.
Klik untuk sumbangan : Tabung Kasih Afghanistan