Program Agihan Selimut
Cox’s Bazar, Bangladesh 3 Januari 2025 – pada hari kedua kami telah dibawa ke perkampungan Bariya Para di Daerah Sailltoli, Ramu untuk mengagihkan sumbangan selimut sebanyak 100 helai kepada 100 buah keluarga yang menggabungkan antara warga tempatan Bangladesh dan pelarian Rohingya yang menetap secara tidak sah kerana tidak mendapat tempat di dalam kem.
Kami dimaklumkan oleh pihak NGO SSURDA bahawa suhu di kawasan perkampungan menjadi lebih sejuk berbanding kawasan bandar ketika musim sejuk sehingga penduduk di sini terpaksa menggunakan apa sahaja yang ada, termasuk pakaian lama, untuk memanaskan badan mereka dan anak-anak. Dengan bantuan selimut ini, ia diharapkan dapat sedikit sebanyak meringankan beban mereka dalam menghadapi musim sejuk.
Mereka amat gembira dan berterima kasih kepada pihak HaRUM serta rakyat Malaysia yang sudi menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban mereka. Kami turut menyaksikan kegembiraan mereka, apabila sejurus selepas pengagihan selimut, mereka berlari-lari dengan penuh keseronokan dan meluahkan rasa syukur atas penerimaan bantuan tersebut.
Dan untuk makluman semua, masih terdapat ribuan keluarga di sini yang kurang bernasib baik dan sedang menghadapi cabaran yang sama sepanjang musim sejuk ini. Penempatan ini juga terletak agak jauh dari kawasan bandar, dan kebanyakan penduduk di sini tidak mempunyai pekerjaan tetap. Mereka hanya bergantung kepada aktiviti bercucuk tanam sayur-sayuran untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Usai disempurnakan pengagihan selimut, kami telah dibawa ziarah ke pejabat NGO SSURDA. Kami juga dapat melihat proses persiapan untuk pengagihan waqaf Al Quran, sumbangan jaket dan pek makanan.

