Qurban Kasih Nusantara 2021
SUBANG BESTARI SHAH ALAM, 21 JULAI 2021 – Hari Raya Aidiladha pada tahun ini adalah kali kedua disambut pada ketika negara bahkan dunia sedang berhadapan dengan situasi yang amat memerlukan pengorbanan. Oleh itu, kekangan akibat pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 tidak menghalang NGO HaRUM untuk meneruskan program ibadah korban pada tahun ini dengan membuka peluang kepada umat Islam melakukan ibadah ini mengikut keadaan kewangan dan kemampuan masing-masing.
Hasil daripada penyertaan lebih daripada 500 peserta, sebanyak 15 ekor lembu dan 6 ekor kambing telah dikorbankan dan diagihkan kepada para asnaf di Malaysia dan juga umat Islam di Indonesia, Warga Rohingya di Bangladesh, Kemboja, dan Selatan Filipina.
Presiden HaRUM, Sayed Khairul Mizan berkata, ibadah korban di dalam dan di luar negara tetap diteruskan pihaknya walaupun ketika negara masih bergelut dengan pandemik Covid-19. HaRUM membuka peluang ibadah korban ini melalui kaedah kongsi korban dimana satu kongsi bahagian sebanyak RM50 dan kaedah sedekah korban sebanyak RM10.
“Syukur Alhamdulillah segala urusan berjalan dengan lancar walaupun penyertaan tahun ini tidak sebanyak tahun-tahun yang lepas namun masih lagi mencapai sasaran minima kami iaitu 15 ekor. Urusan agihan juga berjaya disampaikan kepada mereka yang memerlukan.” Katanya yang sudah menguruskan korban sejak tahun 2011.
Untuk ibadah korban tempatan pada kali ini, HaRUM bekerjasama dengan pihak NGO CLS dan penduduk Muafakat Komuniti U5 di Kampung Melayu Subang dengan mengikut garis panduan SOP korban seperti yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.
Setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada semua peserta ibadah korban dan juga sukarelawan yang menjayakan Qurban Kasih Nusantara 2021 ini walaupun dalam keadaan yang agak mencabar. Semoga ibadah korban pada tahun ini diterima Allah SWT. Teruskan sokongan anda pada NGO HaRUM dan lain2 NGO yang membawa misi dan tujuan yang sama.