skip to Main Content
Kenyataan Media Kempen Prihatin HaRUM

Kenyataan Media Kempen Prihatin HaRUM

Tarikh: 26 Jun 2021

Pada 7 Jun 2021 yang lepas sebaik Kerajaan mengumumkan PKP secara total, Pertubuhan Ikatan Kekeluargaan Rumpun Nusantara atau lebih dikenali sebagai HaRUM telah melancarkan “KEMPEN PRIHATIN HARUM” sebagai langkah awal untuk mendapatkan data maklumat bantuan kepada mereka yang terkesan di sekitar Lembah Klang akibat daripada pandemik Covid-19 ini tanpa mengira bangsa dan agama.

Kali ini pihak HaRUM tidak bergerak bersendirian sebagaimana yang dilakukan seperti PKP 1.0 dan PKP 2.0 yang lepas, tetapi mengambil langkah proaktif untuk melibatkan ramai pihak terutamanya komuniti setempat agar timbulnya rasa kecaknaan, kasih sayang dan jiwa yang suka membantu dikalangan mereka terutamanya di kawasan masing-masing dimana terdapat golongan yang terjejas dan kehilangan sumber pendapatan. Bukan sekadar itu, kecaknaan terhadap kestabilan emosi juga dapat dikongsi bersama memandangkan terdapat banyak kes melibatkan stres dan juga kemurungan.

Selama dua minggu kempen dijalankan, HaRUM telah menerima permohonan bantuan lebih daripada 600 buah keluarga, dimana 90% adalah mereka dari golongan B40 dan 10% warga asing. Daripada 600 pemohonan tersebut, 500 pemohon telah disantuni dan dibantu oleh jaringan kerjasama yang terdiri daripada komuniti yang tinggal di kawasan berdekatan dengan pemohon-pemohon tersebut. Pelbagai respon yang positif telah diterima daripada wakil komuniti ini tentang pemohon bantuan selepas mereka sendiri berhubung dan membantu. Ini adalah antara misi HaRUM agar komuniti setempat lebih peka dan prihatin tentang keadaan semasa serta cakna akan sosial masyarakat setempat. Namun begitu, tidak dinafikan ada juga segelintir pemohon yang cuba mengambil kesempatan tetapi jumlahnya tidak ramai.

Mereka yang membantu terdiri daripada kalangan NGO-NGO yang lain, Persatuan Penduduk, Persatuan Peniaga, Kariah Masjid dan Surau, Pertubuhan Pekerja, Ahli-ahli Kelab Alumni, Guru-guru Sekolah, pelbagai Pertubuhan Media Sosial, para Asatizah dan juga individu-individu lain. Selain daripada itu HaRUM juga telah berhubung dengan wakil Baitulmal MAIWP dan Lembaga Zakat Selangor untuk mendapatkan maklumat bantuan yang disediakan dan juga membuat hebahan kepada orang ramai, khususnya bantuan yang berkaitan dengan Covid-19 ini.

Dengan adanya jaringan kerjasama ini, misi bantuan dapat bergerak dengan lebih mudah dan lancar kerana komuniti setempat sendiri yang akan berhubung, mengumpul dana, membeli barang-barang keperluan dan menziarahi pemohon-pemohon ini berdasarkan maklumat yang diterima oleh HaRUM. HaRUM juga menyasarkan lebih banyak jaringan dan kerjasama yang dapat dibina dengan pelbagai pihak agar kebersamaan dalam menyantuni masyarakat terutama yang terjejas ketika ini dapat dilaksanakan.

Sehingga ke hari ini, HaRUM masih lagi menerima permohonan untuk keperluan barangan asas daripada golongan yang terjejas ini. Keperluan barang-barang asas yang disalurkan adalah seperti beras, telur, tepung, gula dan lain-lain lagi untuk bekalan dalam tempoh dua minggu. Dalam masa yang sama, HaRUM masih lagi proaktif dalam menerima permohonan bantuan, menyusun dan memperbaiki dari segi pengurusan dan pengedaran bantuan agar ia lebih tersusun dan terurus.

Selain daripada facebook, HaRUM juga telah membuat hebahan kempen ini melalui media sosial yang lain, whatsapp group dan lain-lain kaedah agar kempen ini dapat dihebahkan semaksima mungkin. Tiada lain yang diharapkan agar kempen ini dapat mewujudkan masyarakat yang lebih cakna, prihatin dan menyebarkan kasih sayang melalui bantuan dan khidmat sosial pada komuniti setempat agar suhu tekanan emosi ketika ini dapat diredakan.

HaRuM boleh dihubungi melalui laman web dan facebook dipautan yang disediakan.

Laman  web: www.harum.org.my

Facebook: www.facebook.com/IkatanKekeluargaanHaRUM

Video Kempen Prihatin HaRUM: www.fb.watch/6kdcQfQDpZ

Muat Turun Kenyataan Media : Kempen Prihatin HaRUM Jun 2021

Back To Top