MARAWI CITY
Salam Perjuangan Keamanan,
Bandar Marawi ataupun dikenali sebagai Marawi City adalah sebuah bandar dan ibu kota dari wilayah Lanao del Sur di Pulau Mindanao , Filipina . Orang Marawi biasanya dipanggil Maranao dan berbahasa Maranao . Mereka dinamakan sempena Lake Lanao , yang dipanggil Ranao dalam bahasa itu, di mana kedudukannya terletak di tepi tasik dan juga merupakan satu-satunya kota di Filipina dengan sebutan “Kota Islam” kerana majoriti penduduknya beragama Islam.
Pada 23 Mei2017, Bandar Marawi yang selama ini aman dan damai digemparkan dengan bermulanya peristiwa pertempuran dan konflik bersenjata diantara Tentera Filipina dan Pejuang Militan Al-Maute. Krisis yang berlanjutan selama lima bulan ini menjadi pertempuran bandar paling lama dalam sejarah moden Filipina selepas Perang Dunia Kedua.
Dalam tempoh empat hari sahaja berlakunya pertempuran, lebih dari 200,000 orang penduduk di Bandar Marawi terpaksa dipindahkan ke kawasan neutral di sekitar Iligan disebabkan faktor keselamatan dan lain lain. Rumah dan penempatan mereka kebanyakannya hancur dan musnah dibakar. Saluran elektrik dan komunikasi juga dimatikan kerana pertempuran masih berterusan. Ramai penduduk yang hilang sumber pekerjaan dan pendapatan. Penduduk yang ditempatkan di penempatan sementara terutamanya anak-anak kecil kelaparan kerana kekurangan bantuan dan berada dalam keadaan yang sangat menyedihkan.
Sehingga kini, setelah lima bulan berlaku nya konflik ini, Bandar Marawi menjadi “Padang jarak padang terkukur”. Antara info terkini yang kami terima dari wakil kami yang membuat tinjauan di sana baru-baru ini, kesan dari konflik yang berlaku ini telah mencatatkan seramai 200 000 orang penduduk menjadi pelarian. 962 orang pejuang militan dilaporkan maut. Lebih 1400 orang anggota tentera Filipina mengalami pelbagai kecederaan dan 165 orang anggota tentera yang maut.
HaRUM memandang serius akan perkembangan krisis yang berlaku di Marawi. Krisis yang berlaku sudah pasti memberi impak yang besar kepada pembangunan, kemanusiaan dan mental penduduk tempatan. Ternyata perang yang berlaku memberi kemusnahan yang teruk kepada Bandar Marawi sehingga mengambil masa bertahun untuk dibangunkan semula.
HaRUM sendiri telah turun padang sebanyak dua kali menghantar misi kemanusiaan masuk ke Bandar Perang Marawi dalam merasai sendiri denyut nadi penduduk Marawi yang mengalami trauma bunyi bom saban hari. Misi pertama, HaRUM telah menghantar delegasi Kemanusian seramai 4 orang dalam mengumpul maklumat ,rekod dan bantuan makanan hasil kerjasama MINSUPALA Realm Intergration for Diversity Inc yang berpangkalan di Filipina . Misi yang kedua Pihak HaRUM telah menghantar sejumlah sumbangan makanan dan perubatan hasil daripada sumbangan rakyat Malaysia yang prihatin terhadap mangsa perang disana.
Kami menyeru NGO-NGO yang berada di luar sana untuk turut mengambil peranan dalam memulih semula pembangunan bandar Marawi dan memulihkan semula perasaan serta emosi penduduk Marawi yang mengalami tekanan untuk memulakan hidup yang baru. Mereka ini bukanlah pengganas dan merupakan mangsa keadaan yang tersepit di tengah kancah perperangan yang diatur oleh pengganas Maute. Mereka seperti mangsa perang yang lain di Syria, Palestin, Iraq dan mangsa genoside Rohingya. Bayangkan mereka yang selama ini hidup rukun dan aman tiba-tiba terlibat dalam kancah perperangan antara Kerajaan dan Pengganas Maute. Rumah, perniagaan, sekolah dan kebun mereka musnah sekelip mata sehingga menyebabkan mereka tinggal sehelai sepinggan dan berteduh di kem kem pelarian di pinggir Bandar Marawi.
Mereka menanti tangan yang menghulur penuh kasih sayang demi melihat sinar harapan kembali untuk hidup dengan keperluan asas yang baik sebagai seorang manusia dan hamba Tuhan yang amat merindukan keamanan dan perpaduan kerana apa yang berlaku mereka hanyalah mangsa konflik persengkataan yang tidak bersalah.
Sekian,terima kasih.