HaRUM DAN INISIATIF PENYELESAIAN KONFLIK SULU
HaRUM sebuah NGO yang bukan hanya menjalankan misi-misi kemanusiaan, malah turut bersama pihak-pihak lain dalam mencari penyelesaian terhadap konflik-konflik yang berlaku khususnya di rantau nusantara ini.
Salah satunya adalah konflik di Selatan Filipina melibatkan wilayah Sulu. Bahkan dari 2012-2015 HaRUM telah menghantar beberapa delegasi ke sana untuk meninjau lebih dekat isu sebenar yang berlaku. Selain membawa misi kemanusiaan, HaRUM juga berpeluang bertemu dengan pihak pentadbir / kerajaan tempatan disana bagi menjalin kerjasama dan membantu mengangkat isu sebenar Sulu kepada dunia. Dapatan HaRUM menunjukkan banyak perkara yang dimainkan media, terutama media Barat adalah tidak tepat dengan realiti sebenar yang berlaku di Sulu.
Langkah awal HaRUM ialah merintis jalan mendaftarkan Sulu sebagai ahli UNPO pada 2014. Ia agar usaha penyelesaian isu Sulu dapat dilakukan secara mengikut undang-undang antarabangsa.
Pada Mesyuarat Agung (GA) Ke-12 di Brussel, Belgium pada 2-4 Julai 2015, UNPO secara rasmi telah menerima keahlian Sulu. UNPO juga menyerahkan bendera rasminya kepada wakil Sulu ketika itu, sebagai simbolik pengiktirafan badan dunia tersebut terhadap usaha penyelesaian secara aman, rundingan dan tanpa keganasan. Resolusi Sulu juga telah dibacakan buat kali pertama pada persidangan tersebut.
Alhamdulillah, usaha yang dijalankan mula menampakkan hasil positif. Justeru pada Mesyuarat Agung UNPO Ke-13 di Edinburgh ini, pihak Sulu yang diwakili Tuan Gammar A. Hassan telah membuat pembentangan dan bacaan resolusi Sulu kali ke-2 bagi membuka tindakan kepada rundingan dengan pihak kerajaan Filipina bagi mewujudkan keamanan bukan sahaja di Sulu, bahkan keamanan serantau.