Kembara Merdeka dan Qurban Kemboja
Dengan penuh kesyukuran, Pihak Kerajaan Kemboja menyatakan penghargaan buat HaRUM atas kesungguhan memasuki Kemboja melalui sempadan Vietnam demi menyampaikan bahagian Qurban dan Akikah dari Malaysia. Kami diiringi oleh pihak General Nov Sary dari bahagian tentera Kemboja sebagai usaha sama menjayakan misi.
Semangat Merdeka kami semarakkan dalam jiwa sebagai tanda wakil Malaysia yang datang membawa keamanan dan kesatuan senusantara.Ditambah pula dengan musim sukan Sea yang berlangsung di Malaysia.
Majlis dimulakan dengan menyampaikan sebanyak 10 ekor lembu di Kampung Kiv Siema yang terletak 1 jam dari sempadan Vietnam – Kemboja. Tangisan air mata mengiringi pemisahan kami kerana rasa keterikatan keluarga apabila sama-sama berdoa dan solat bersama sepanjang di sini.
Seterusnya kami bergerak ke Maahad Tahfiz Al Quran Ustaz Ariffin bagi menyerahkan alat muzik untuk kemudahan majlis Maulid dan bahagian lembu qurban. 2 orang sukarelawan kami ditinggalkan di Kampung ini bagi membantu mengajar asas agama dan cara berqasidah.
Kami melanjutkan ke beberapa lokasi lagi iaitu di Masjid AlMubarak dan Seterusnya kami ke Masjid Senoul bagi menyerahkan bahagian lembu qurban di kawasan masjid dalam pedalaman hutan ini. Kami disambut meriah dengan makanan tengahari. Keadaan rakyat Kemboja yang serba kekurangan tetapi tetap meraikan dengan apa yang mereka ada.
Kami bersyukur peluang yang diberi Tuhan dapat berkhidmat jasa pada negara Malaysia dengan kerjasama Kerajaan Kemboja melalui General Nov Sary untuk misi kemanusiaan dan qurban pada tahun ini. Tiada apa yang dapat membeli kasih sayang yang terikat kerana Tuhan Yang Esa.