Kerukunan Persaudaraan Serumpun
Sollu Alan Nabi
Sepanjang keberadaan kami di Filipina dalam menjalankan misi Korban, kami melihat suatu situasi yang sangat indah dan harmoni. Semua sukarelawan berganding bahu, mengerah tenaga dan memberi seluruh jiwa Cinta kepada semua yang akan dibantu meskipun kami semua berbeza latar belakang bangsa, adat budaya, pendidikan dan agama.
Tidak pernah kami melihat kesatuan seperti ini dalam misi Korban, begitu muafakat dalam kerja dan wujudnya suasana kekeluargaan. Kami dari pihak HaRUM menekankan konsep : organisasi hanyalah dalam bentuk form. Namun contentnya kita semua adalah keluarga yang berusaha memberi kegembiraan kepada manusia lain.
Bermula lah dari aktiviti pengagihan daging lembu kepada daerah di sekitar bandar yang mengalami Krisis, penyediaan makanan dan menghidang makanan. Semuanya kami lakukan bersama.
Untuk korban di Filipina, kami di Pihak HaRUM mengambil pandangan Imam yang mengharuskan pengagihan daging korban kepada mereka yang bukan muslim kerana mangsa krisis bukan hanya terdiri daripada muslim sahaja, bahkan mereka yang bukan muslim juga turut menjadi mangsa. Kesannya, ia memberi impak baik kepada masyarakat non-muslim berkait pandangan mereka terhadap agama Islam.
Mereka menyatakan bahawa agama Islam adalah agama yang menekankan kedamaian dan kegembiraan. Memberikan bantuan tanpa mengira siapa pun. Ia juga menjadi titik tolak kesepaduan antara gerak kerja kami di Filipina bersama dengan NGO bukan muslim disana. Keterujaan mereka terhadap mudahnya berurusan dengan kami membuatkan mereka memberikan 100% kesungguhan dalam menjayakan Misi Korban Kasih Selatan Filipina ini.
Kita adalah serumpun. Asal dari darah tanah Nusantara. Cubit peha kanan, peha kiri terasa. Apa derita mereka, kita juga turut merasa. Apa kegembiraan kita, mereka juga berhak merasakannya. Perpaduan serumpun ini usah biar hilang, terus semai agar kembali bertaut rasa cinta dan damai seperti yang pernah tertulis dalam sejarah.
Terima kasih atas penghormatan, kerjasama dan layanan yang diberikan. Tanpa bantuan daripada kalian, misi ini akan punya banyak kekurangan.
Terima kasih buat NGO MinSuPala, KP Iligan, KP Marawi, KP Lanou dan KP Zamboanga.
Salam Cinta Damai.
#harumcare
#tulungmarawinow