SOLIDARITI UNTUK ROHINGYA
Salam Cinta Damai.
Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Tanda mereka yang benar beriman adalah mencintai saudaranya yang lain sama seperti mencintai dirinya sendiri. Lewat ini, semakin tular isu pembantaian hak kemanusiaan kepada Muslim di Arakan.
Mereka dibunuh tanpa sebab dosa dan kesalahan, mereka dibakar hidup-hidup kerana mahu mempertahankan kedaulatan agama dan tanah air, wanita diperkosa tanpa belas ihsan, anak kecil mati dengan penuh kekejaman, mayat bergelimpangan, disumbat ke dalam guni dan dihumban kedalam sungai, sungai yang jernih bertukar menjadi sungai darah.
Orang-orang tua, ibu mengandung, anak – anak kecil perlu merentas gunung dan melalui sungai yang parasnya terkadang melebihi paras dada mereka, hanya untuk menyelamatkan diri dan mencari perlindungan di negara-negara berhampiran daripada cengkaman kezaliman kerajaan.
Pada 8/9/2017, HaRUM bersama-sama dengan 104 buah NGO lain hadir pada majlis anjuran Sinar- Sinar4Rohingya: Solidarity For Humanity bertempat di Karangkraf, Shah Alam. Kami mengambil semangat kesatuan dan kerjasama secara kolektif dan bersepadu bersama NGO lain sebagai tanda kebersamaan Umat Islam Malaysia khususnya dan seluruh umat manusia di dunia amnya sebagai kempen kesedaran dan langkah menamatkan kezaliman ini.
Pada 12/9/2017 pula, HaRUM juga dipilih sebagai salah satu NGO yang akan turut membantu memainkan peranan dalam Sekretariat SINAR4ROHINGYA yang melibatkan penggabungan 104 NGO , sebagai usaha utama dalam menghentikan kekejaman terhadap etnik Rohingya di Myanmar. Selain daripada membantu etnik Rohingya di Myanmar, penubuhan sekretariat ini juga diwujudkan untuk membantu pelarian Rohingya termasuklah yang berada di bumi kita, Malaysia.
Banyak perkara yang dibincangkan, terutamanya menghantar bantuan kecemasan dalam bentuk empat perkara iaitu:
1. Makanan dan minuman
2. Pakaian dan selimut
3. Khemah atau shelter
4. Ubat-ubatan
Setakat 12/9/2017, sinar4Rohingya telah berjaya mengumpul lebih daripada RM200,000 untuk penyelarasan 4 perkara tersebut.
Terus bantu kami untuk kami membantu mereka. Andai kita perlukan doktor untuk mengubati, mereka juga perlu. Andai kata kita perlukan sekolah untuk menimba ilmu, mereka juga perlu. Kita manusia, dan mereka juga sama manusia. Tidak ada suatu pun hak yang mampu dikecapi oleh kita, tidak boleh mereka nikmati.
Bantulah diatas batu asas iaitu Kecintaan dan Kedamaian.
#HaRUMcare
#sinar4rohingya
#solidarityforhumanity