PERHIMPUNAN AGUNG UNPO – Bahagian 2
HARI KEDUA, 27 Jun 2017
Suhu sekitar 12C, dalam hujan renyai-renyai kami bergerak ke Trivot Row House, University of Edinburgh untuk sesi persidangan UNPO hari ke-2.
Selain agenda mesyuarat berupa pembentangan penyata kewangan dan laporan aktiviti tahun 2015-2016, sesi penting hari ini ialah laporan perkembangan semasa di wilayah masing-masing dan pembentangan resolusi oleh para ahli UNPO.
Sulu mendapat giliran ke-2 untuk pembentangan daripada 11 perwakilan yang memohon untuk membentangkan perkembangan, perubahan atau membuat resolusi baru. Resolusi yang dibentang dan diluluskan di GA Unpo amat penting kerana ia akan menentukan halatuju wakil minoriti selepas dari GA ini untuk membawa suara dan hasrat mereka ke peringkat kerajaan masing-masing dan bagi mendapatkan perhatian dan sokongan antarabangsa.
Berada di dewan bersejarah Trivot Row House ini mendengar kisah-kisah nasib yang dialami dan perjuangan menuntut hak yang dinafikan, membuat kami tersedar betapa beruntungnya kita di Malaysia, hidup dalam aman sejahtera. Kalau adapun isu-isu panas dalam negara, ianya masih terkawal dan kehidupan berjalan seperti biasa. Namun tiadalah harus semua itu membuatkan kita alpa kerana pasti di sana ada pihak-pihak berkepentingan dalam dan luar negara yang berusaha untuk menganggu keharmonian sedia ada.