ZIARAH AKTIVIS MELAYU DI LEEDS, UK
Ahad, 2 Julai merupakan hari terakhir team HaRUM berada di Leeds. Sebelum kami berangkat pulang ke Edinburgh, kami sempat singgah ke rumah Ustaz Daud Norakit atas jemputan dan ziarah hari raya daripada beliau sekeluarga. Beliau merupakan bekas pensyarah UKM yang telah menetap di UK selama 20 tahun iaitu semenjak 1996.
Ustaz Daud seorang yang peramah, kami memanggilnya dengan gelar Ayah. Beliau sekeluarga menyambut kami seolah-olah sudah lama kenal, sedangkan ia kali pertama kami berjumpa. Ternyata adat budaya santun Melayu masih kekal pada diri beliau walau puluhan tahun menetap di sana. Juadah yang disediakan juga makanan tradisi Melayu, apalagi masing-masing makan dengan penuh selera.
Banyak cerita yang dikongsikannya, maklumlah beliau merupakan antara tempat rujukan rakyat Malaysia yang menetap disini. Beliau amat aktif dengan pelbagai NGO @ persatuan, bukan hanya melibatkan komuniti Islam bahkan dengan non-Muslim. Aktiviti beliau merata di seluruh UK, tidak terhad di Leeds sahaja.
Menarik sekali bila beliau berkongsi tentang aktiviti komuniti disini. Beliau menyatakan komuniti di Malaysia, Singapura dan Indonesia sering melakukan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan bersama-sama. Selain itu komuniti seperti India, Pakistan, Afrika dan Arab juga aktif menjalankan akitiviti disini. Kebiasaannya aktiviti yang dijalankan bersifat kekeluargaan dikalangan komuniti masing-masing di masjid seperti kelas pengajian ilmu Islam, pengajian untuk anak-anak dan bacaan Al-Quran.
Setakat ini menurut beliau tiada lagi aktiviti yang melibatkan NGO tempatan bergabung bersama dengan komuniti Islam yang lain khususnya daripada Malaysia. Sehubungan itu, kami pihak HaRUM mencadangkan satu hari nanti satu aktiviti bersama dapat dijalankan dengan keterlibatan NGO yang diterajui oleh masyarakat tempatan di Leeds, NGO HaRUM dan NGO tempatan. Ia sejajar dengan misi kasih sayang dan kekeluargaan HaRUM kepada semua bangsa dan agama serta dimana jua.
Moga bertemu lagi dengan Ayah di lain waktu, insya Allah.