skip to Main Content
Program Agihan Sumbangan Pek Makanan

Program Agihan Sumbangan Pek Makanan

Laporan Misi Bantuan Musim Sejuk Cox’s Bazar, Bangladesh (Hari Keempat: Agihan Sumbangan Pek Makanan kepada Pelarian Rohingya di Kem Kutupalong No. 4)

Syukur kepada Allah, pada 5 Januari 2025 kami telah melaksanakan aktiviti agihan bantuan yang terakhir bagi Misi Musim Sejuk pada kali ini. Sebanyak 100 pek makanan telah diagihkan kepada 100 keluarga pelarian Rohingya di Kem Kutupalong No. 4.

Perjalanan ke Kem Kutupalong mengambil masa kira-kira 1 jam 30 minit dari hotel penginapan kami. Bagi memasuki kem pelarian Rohingya, terdapat beberapa peraturan (SOP) yang perlu dipatuhi. Hanya kenderaan beroda empat seperti kereta, van, atau lori dibenarkan memasuki kawasan kem, manakala kenderaan seperti teksi motor roda tiga (CNG) tidak dibenarkan oleh pihak pengurusan. Sebelum ini, kebanyakan pergerakan kami ke lokasi bantuan lain menggunakan CNG sebagai pengangkutan utama.

Syukur, dengan usaha dan kerjasama NGO SSURDA, kami diberi kebenaran untuk memasuki kem ini setelah rundingan dan mesyuarat tergempar bersama pihak kerajaan dan pengurusan kem diadakan sabtu lepas.

Sebelum agihan dimulakan, kami berpeluang bertemu dengan Encik Md Didar, pegawai pengurus kem. Beliau memaklumkan bahawa Kem Kutupalong No. 4 sahaja menempatkan lebih 7,184 keluarga dan 32,211 individu. Secara keseluruhannya, Kem Kutupalong terdiri daripada lebih 20 kem dengan populasi lebih 728,000 orang.

Pelarian di kem ini lebih terurus kerana menerima bantuan daripada NGO besar dan pihak kerajaan. Namun, situasi berbeza bagi pelarian di luar kem yang hidup dalam serba kekurangan dan tidak menerima bantuan langsung daripada kerajaan. Atas sebab ini, NGO SSURDA menumpukan usaha membantu pelarian di luar kem yang lebih memerlukan.

Kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada rakyat Malaysia yang telah menyokong dan menyumbang kepada misi ini. Tanpa bantuan dan sokongan anda, usaha ini tidak mungkin dapat dilaksanakan dengan jayanya. Kami menyeru agar terus bersama-sama menyokong misi-misi akan datang, demi membantu mereka yang memerlukan di seluruh dunia.

(Link ke FB)

(Video)

 

Back To Top